PUTRAJAYA 11 Ogos Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled
Nordin menyelar Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
kerana sanggup menggadaikan hak keistimewaan orang Melayu dengan
mengemukakan cadangan supaya kuota pelajar Universiti Teknologi Mara
(UiTM) dibuka kepada bukan bumiputera.
Menyifatkan saranan tersebut sebagai populis dan bertujuan memancing
sokongan bukan Melayu, beliau berkata, cadangan berkenaan juga satu
penghinaan kepada orang Melayu, bumiputera dan institusi pengajian itu
sendiri.
Dia (Abdul Khalid) bercakap soal kecemerlangan dan persaingan.
Apakah persaingan antara pelajar UiTM sedia ada tidak cukup sengit?
Apakah orang Melayu tidak boleh bersaing sesama dengan Melayu. Kena
masuk orang Cina, baru Melayu tahu hendak bersaing.
Saya juga tidak percaya hanya kerana UiTM menghimpunkan pelajar
Melayu dan bumiputera, ia membawa kepada perpecahan dalam masyarakat.
Kalau dia (Abdul Khalid) kata hendak melahirkan perpaduan dengan
bercampur orang India dan Cina, mengapa bermula di sini, di UiTM? Dia
sepatutnya mencadangkan hanya ada satu sekolah (untuk menggalakkan
perpaduan). Dan ia mesti bermula di peringkat sekolah rendah, katanya
kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Abdul Khalid mencadangkan 10 peratus daripada jumlah semasa
kuota pelajar di UiTM dibuka kepada bukan bumiputera serta pelajar
asing.
Menurutnya, pelaksanaan cadangan itu akan dapat meningkatkan kualiti
pendidikan dan persaingan di kalangan pelajar institusi pengajian
tinggi (IPT) tersebut.
Khaled menegaskan, cadangan Abdul Khalid itu hanya satu politik
murahan yang sanggup menggadai perkara yang diwujudkan untuk memelihara
kedudukan dan kepentingan Melayu serta bumiputera.
Dalam aspek ini, beliau memberi jaminan kerajaan akan terus
melindungi hak-hak orang Melayu dan bumiputera seperti termaktub dalam
Perlembagaan Persekutuan dan tidak sesekali tunduk kepada desakan
populis itu.
Jadi, saya memberi jaminan kepada semua pejuang yang telah
mewujudkan UiTM bahawa selagi saya menjadi Menteri, kedudukan UiTM akan
kekal, katanya.
Khaled berkata, cadangan membuka kuota pengambilan itu bukan sahaja
tidak wajar malah tidak munasabah untuk dilakukan jika kedudukan UiTM
hari ini diambil kira.
Kalau kita lihat statistik enam bulan selepas tamat pengajian untuk
tiga tahun kebelakangan ini, seramai 81 peratus siswazah UiTM dapat
pekerjaan. Ini adalah lebih baik daripada sesetengah universiti.
Begitu juga purata siswazah yang belum dapat kerja selepas tiga
bulan tamat belajar. Biasanya pada kadar 24.9 peratus tetapi hanya UiTM
19.1 peratus dan bilangan itu adalah antara yang terbaik sekali dalam
institusi pengajian tinggi awam dalam negara, katanya.
Beliau berkata, kementerian mempunyai pelan jangka panjang di bawah
Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara untuk memastikan institusi itu
terus meningkat kecemerlangannya.
Menurut Khaled, UiTM adalah satu pendekatan kerajaan membina
kekuatan orang Melayu dan bumiputera dengan meningkatkan kualiti
pendidikan supaya mereka dapat bersaing dan tidak tercicir berbanding
kaum lain.
Hari ini, katanya, orang Melayu dan bumiputera masih belum berada pada kedudukan yang mampu menyaingi kaum lain.
Tindakan membuka UiTM akan melambatkan lagi proses menyusun
masyarakat, mengimbangi keciciran atau kekurangan di antara bumiputera
dan bukan bumiputera. Langkah ini tidak akan menyelesaikan masalah,
katanya.
No comments:
Post a Comment
Pihak BBCD tidak bertanggungjawab diatas sebarang komen.Korang pandai-pandai lah menjawab.Sendiri komen sendiri tanggung.