SUMBER: PerakToday
Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) akan terus melipatgandakan
usahanya untuk menjayakan kempen memboikot lapan produk keluaran
syarikat tempatan yang jelas menyokong demonstrasi jalanan yang
dipelopori pihak pembangkang.
Ketua Aktivitis PPIM, Datuk Nadzim Johan, berkata sejak dilancarkan
dua minggu yang lalu, kempen itu tidak tertumpu kepada semua produk
keluaran syarikat Cina sebaliknya hanya produk keluaran syarikat yang
menyokong demonstrasi jalanan di negara ini.
“Timbul perspektif yang salah di kalangan rakyat kononnya PPIM minta
pengguna boikot semua produk keluaran syarikat Cina tetapi yang
sebenarnya kempen ini dilancarkan sebagai peringatan kepada syarikat
yang menyokong demonstrasi jalanan yang terbukti menjejaskan kemakmuran
dan keselamatan rakyat negara ini.
“Kita terima banyak aduan dan rungutan daripada rakyat berkaitan
perhimpunan jalanan yang dianjurkan pembangkang sejak keputusan PRU-13
diketahui pada 5 Mei.
“Rakyat menderita dan meluahkan rasa bimbang dengan demonstrasi
jalanan yang masih berterusan kerana merasakan mereka tidak seharusnya
melalui masalah itu selepas pilihan raya berakhir,” katanya kepada
pemberita pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.
Nadzim menjelaskan, pihaknya berharap seluruh rakyat Malaysia
khususnya pengguna Islam bersatu hati untuk menjayakan kempen memboikot
lapan produk yang dikeluarkan syarikat yang jelas menyokong perhimpunan
dan demontrasi jalanan di negara ini.
Beliau berkata, antara produk yang dikenalpasti ialah tepung gandum
Cap Sauh, Cap Kunci, Old Town Cafe, Pappa Rich, produk makanan dalam tin
jenama Marina, minyak masak Seri Murni dan syarikat penerbangan tambang
murah, AirAsia.
“Kita mahu pengguna menggunakan kuasa mereka untuk mengajar syarikat
yang angkuh ini dengan sasaran mengurangkan sekurang-kurangnya 30
peratus keuntungan syarikat dengan memboikot produk keluaran mereka.
“Jangan beli dan guna produk ini jika anda sokong dan sayangkan
keamanan yang kita kecapi hari ini,” katanya sambil menjelaskan kempen
secara besar-besaran akan dilakukan persatuan itu termasuklah
mengedarkan risalah di masjid-masjid di seluruh negara.
Sementara itu, beliau turut menggesa kerajaan Pusat melalui
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) mengambil tindakan tegas
terhadap pihak The Red Bean Army yang
menyebar fitnah terhadap syarikat berkepentingan Melayu secara terancang sejak 2011 lagi.
Dengan tujuan menghilangkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan hari
ini, pasukan itu katanya, menggunakan media baru untuk menyebar fitnah
dan tohmahan secara terancang.
“Fitnah dan kempen boikot produk keluaran syarikat berkepentingan
Melayu seperti jenama Gardenia sudah dimulakan sejak 2011 lagi.
“Apabila disebarkan secara meluas di media baru, akhirnya rakyat
terpengaruh dengan dakyah pembangkang ini yang jelas mahu menjatuhkan
kerajaan BN dan UMNO yang kononnya mempunyai kepentingan dalam syarikat
itu,” katanya sambil menjelaskan pengasas Yayasan Al-Bukhary, Tan Sri
Syed Mokhtar Al-Bukhary hanya memiliki 30 peratus saham syarikat
Gardenia manakalanya dimiliki oleh syarikat Singapura.
Menurutnya, kerajaan perlu melakukan kawalan dengan segera manakala
rakyat Malaysia pula harus bangkit daripada terus ditipu oleh pihak
tidak bertanggungjawab ini.
“Dikhuatiri jika tiada tindakan atau kawalan diambil, rakyat akan
mudah menerima segala fitnah, sekaligus mempengaruhi minda untuk mereka
membenci dan mensabotaj kerajaan hari ini,” katanya lagi.
Apa yang disebarkan di alam maya oleh kumpulan berkenaan hanya
menunjukkan keburukan kerajaan dan mewujudkan ruang agar rakyat tidak
bersatu padu sebagai bangsa Malaysia, katanya lagi.
“Sebagai contoh, mereka melancarkan kempen boikot roti keluaran
Gardenia dan pasar raya besar Mydin secara terancang yang dikaitkan
dengan kepentingan politik sedangkan ia tidak benar sama sekali.
“PPIM mahu fitnah seperti ini dihentikan kerana ia mewujudkan
perasaan tidak senang antara kaum Melayu dan Cina, sekaligus menjejaskan
perpaduan yang terjalin selama ini.
“Kita berharap agar Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Dr Ahmad
Zahid Hamidi dan Ketua Polis Negara dapat melihat perkara ini dengan
serius dan bersungguh-sungguh,” katanya lagi.
No comments:
Post a Comment
Pihak BBCD tidak bertanggungjawab diatas sebarang komen.Korang pandai-pandai lah menjawab.Sendiri komen sendiri tanggung.