SHAH ALAM – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa 
bahawa parti DAP bukan hanya mahu menguasai ekonomi negara semata-mata 
tetapi juga politik Malaysia.
Dipetik daripada blog CheDet, Dr Mahathir berkata, ia dapat dilihat 
berdasarkan kepada kebangkitan kaum itu menerusi siri himpunan anjuran 
pembangkang selepas PRU13 lalu.
Menurut Dr Mahathir lagi, PR yang terdiri daripada gabungan Pas, PKR 
dan DAP menyaksikan Pas antara parti yang paling banyak tewas, manakala 
DAP merupakan pemenang paling besar dengan kejayaan memusnahkan 
kerjasama di antara pelbagai kaum seperti ditunjukkan dalam gabungan BN.
“Pakatan ini jelas memberi keuntungan paling besar kepada cauvinis 
Cina dalam DAP, manakala Pas, Melayu paling ramai dalam parti Pakatan 
mendapat keuntungan paling sedikit, dengan memenangi hanya 21 kerusi 
berbanding 38 kerusi DAP dan 30 dari PKR.
“Sedangkan, jumlah kerusi yang ditandingi Pas paling banyak, ini 
menunjukkan bahawa DAP berusaha untuk membolehkan golongan Cina yang 
“sudah pun menguasai ekonomi” untuk turut menguasai politik Malaysia,” 
katanya.
Pada masa sama, Dr Mahathir juga meramalkan bahawa perkembangan itu 
akan menyebabkan polarisasi kaum yang lebih serius manakala orang Melayu
 akan terus disisih daripada segi ekonomi dan politik.
“Di dalam dan di luar negara, pemuda Cina memakai baju hitam dan 
bertopeng membentuk sebahagian besar daripada peserta demonstrasi.
“Walaupun ia dianjurkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dan parti PKR, 
sebahagian besarnya dihadiri kaum Cina terutama golongan muda. Biasanya,
 orang Melayu yang menjadi majoriti peserta demonstrasi.  Protes itu 
seolah-olah dilakukan oleh kaum Cina,” ujarnya.
Menurutnya, jumlah orang Melayu yang sedikit di perhimpunan ini juga 
boleh dikaitkan dengan “keterasingan” pemimpin Pas dengan demonstrasi 
tersebut, yang didakwanya sebagai usaha menumbangkan kerajaan dengan 
cara “Arab Spring”.

No comments:
Post a Comment
Pihak BBCD tidak bertanggungjawab diatas sebarang komen.Korang pandai-pandai lah menjawab.Sendiri komen sendiri tanggung.